Cadangan Kerja 6 Jam Disambut Baik Kementerian

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga  & Masyarakat menyambut baik cadangan kerajaan untuk melaksanakan sistem waktu bekerja selama enam jam sehari bagi penjawat awam di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani berkata, kementerian menyokong penuh cadangan Kongres Ke­satuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu, malah cadangan itu dilihat bersesuaian, terutama bagi kakitangan awam wanita yang sudah berkeluarga.

Menurutnya, kementerian sendiri te­lah melaksanakan kaedah waktu kerja anjal sejak dua tahun lalu bagi memberi kelonggaran kepada kakitangan kementerian yang telah berkeluarga untuk mendapat kesesuaian masa.

Bagaimanapun, kementerian tidak boleh bersendirian merealisasikan cadangan tersebut ke­rana apabila ramai yang menyokong cadangan itu, ia dilihat mendapat sambutan dan kami bersedia bekerjasama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Kisham yang meminta kerajaan menimbang untuk mengurangkan waktu bekerja penjawat awam di negara ini.

Kenyataan itu mendapat maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang menyatakan bahawa kerajaan bersedia mengkaji cadangan tersebut.

Menurut Rohani, terdapat tugasan di pejabat yang tidak perlu dilakukan di pejabat, ditambah dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada masa sekarang.

Apa yang penting, kerja tersebut dapat disiapkan mengikut kualiti yang ditetapkan serta tidak lari daripada kehendak majikan. Contohnya seperti penterjemah buku, mereka tidak perlu berada di pejabat kerana tugasan itu boleh dilakukan di mana-mana.

Katanya, sistem waktu kerja anjal yang dilaksanakan di kementeriannya setakat ini memberi banyak manfaat kepada kakitangan kementerian berkenaan kerana ia bersifat fleksibel, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan berkualiti.

Bagi yang masuk bekerja pada pukul 10 pagi, mereka boleh terlebih dahulu menguruskan rumah dan anak-anak sebelum masuk ke pejabat dan pulang pada pukul 6 petang. Jadi mereka dapat seimbangkan antara kerja dan keluarga.

Dapatkan update terkini jawatan kosong kerajaan di JawatanKosong.Online.