Minta Rasuah – 3 Pegawai Penguasa Kastam Ditahan

Penguasa Kastam

Tiga lelaki termasuk dua pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit rasuah.

Dua pegawai penguasa kastam berusia lingkungan 40-an itu ditahan di sekitar Kuala Perlis semalam, susulan tindakan mereka yang didakwa meminta wang suapan daripada seorang pemilik bot yang melakukan kesalahan memiliki lebihan diesel berbanding had lesen dibenarkan.

Suspek ketiga yang juga berusia lingkungan 40-an itu ditahan hari ini, selepas disyaki bersubahat dengan dua pegawai penguasa berkenaan bagi mendapatkan rasuah.

Pengarah SPRM Kedah, Yaacop Angah, mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Berdasarkan siasatan, katanya, dua pegawai penguasa kastam terbabit dikatakan menahan lesen bot yang dikesan melakukan kesalahan terbabit pada Sabtu lalu dan meminta RM4,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kepada pemilik bot.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek dipercayai hanya menerima RM3,000 daripada pemilik bot berkenaan, sebelum menyerahkan semula lesen yang ditahan.

“Ketika ini, dua pegawai terbabit direman empat hari bermula hari ini untuk tindakan lanjut dan SPRM akan melengkapkan siasatan sebelum dikemukakan untuk pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.