Update Resume Untuk Persediaan Menghadapi Temuduga

Resume adalah  tools  penting yang ‘mempromosikan’ kemahiran , pendidikan, pengalaman dan kejayaan anda kepada bakal  majikan.

Malahan, resume yang dibuat dengan baik serta  lengkap mampu memberikan peluang anda untuk maju selangkah lagi dalam usaha pencarian kerja impian.

Elemen asas yang perlu disertakan dalam resume adalah;

Kepala (heading) – Nama, alamat penuh (terkini), nombor telefon dan emel.

Objektif – Objektif memberi tumpuan kepada resume anda dengan meletakkan jawatan yang anda inginkan, sama ada kategori pelatih, sementara atau sepenuh masa. Ia juga menunjukkan kecenderungan dan sasaran kerjaya peribadi anda.

Pendidikan – Mulakan dengan kelayakan akademik terkini termasuk nama kolej atau universiti, ijazah, bidang pengkhususan, tarikh tamat pengajian dan CGPA.

Kerja kursus berkaitan – Kursus pra atau pasca ijazah, kertas kajian, seminar dan projek berkaitan jenis kerjaya yang dicari.

Pengalaman – Gunakan frasa pendek (bukan ayat) untuk menekankan pengalaman bekerja dan kemahiran digunakan secara dinamik. Sertakan pengalaman termasuk sebagai pelatih, guru sementara, kerja klinikal, sukarelawan dan projek kajian.

Lain-lain kategori – Sijil, anugerah, penghargaan, kemahiran berbahasa, tahap literasi komputer, aktiviti luar, kekuatan peribadi, kemahiran teknikal, keahlian profesional, penerbitan.

Rujukan – Jangan senaraikan nama rujukan secara individu pada resume anda. Buat senarai rujukan di muka surat baru, sebelum itu dapatkan kebenaran daripada individu terbabit untuk menggunakan mereka sebagai rujukan anda.

Anda boleh muat turun contoh resume melalui laman web PeopleSoft Resume secara percuma,  klik sini.

Panduan Menghadapi Temuduga

Setelah puas mencari kerja yang sesuai dan menunggu selama berbulan-bulan, akhirnya anda dipanggil menghadiri temuduga. Inilah masanya anda berdepan dengan bakal majikan dan ‘menjual’ segala pengalaman, kemahiran, semangat dan kesungguhan yang ada pada diri anda.

Masalahnya, anda hanya mempunyai 15 atau 20 minit untuk meyakinkan majikan tanpa mengetahui apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada anda.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat untuk membantu anda mengharungi temuduga dengan yakin.

Kajian – Lakukan sedikit kajian latar belakang syarikat (lokasi, laman web, jenis industri, perkhidmatan ditawarkan) waktu bekerja, bidang tugas.

Berlatih – Dapat bantuan untuk berlatih di rumah dengan kuat untuk meningkatkan keyakinan diri, perbaiki percakapan supaya lebih jelas, tepat dan tidak gementar semasa temuduga sebenar.

Berpakaian kemas – Tanggapan pertama majikan terhadap anda adalah sangat penting. Jika temuduga anda untuk kerja pejabat, pilihan terbaik adalah memakai sut konservatif berwarna gelap (lelaki dan wanita). Jika kod pakaiannya lebih kasual (kilang atau tapak pembinaan) pakai sepasang seluar ‘slek’ dan kemeja berkolar dan tali leher. Sementara wanita, gaun, blaus, seluar atau skirt yang sopan. Tetapi, elak barang kemas terlalu sarat, minyak wangi kuat atau pakaian ranggi.

Bertanya soalan – Jangan cuba mengambil alih tugas sebagai penemuduga, sebaliknya gunakan kajian anda tadi untuk bertanya beberapa soalan tambahan mengenai perniagaan, jawatan, ciri kelayakan dan apa diharapkan daripada calon yang mengisi posisi itu kelak.

Nota Terima Kasih – Pastikan anda meluahkan penghargaan kepada pihak majikan kerana memberi anda peluang ditemuduga. Sejurus selepas temuduga, hantarkan nota (kad/surat) mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi meluangkan masa menemui anda.

Kesimpulannya, anda perlu ingat tiga perkara penting sebelum menghadiri temuduga yang bakal mencorakkan kerjaya masa depan anda iaitu; bersedia, profesional dan bersopan untuk memberi tanggapan yang tepat mengenai potensi diri anda.